Modul 4: Lancar produk – masuk pasaran dan lihat apa respon pelanggan

Holywood ada formula yang amat bagus untuk pelancaran filem mereka. Mereka menayangkan ‘trailer’ setahun sebelum filem itu ditayangkan di pawagam. Trailer itu ditayangkan di saluran TV, YouTube, media sosial dan dibicarakan di radio-radio. Semua ini adalah kempen pra-pelancaran untuk memastikan apabila filem itu keluar di pawagam, berduyun-duyun orang datang untuk menonton.

Untuk menjadikan produk bisnes kecil kita meletup, kita perlu melakukan sesuatu yang lebih kurang sama. Cipta perasaan ingin tahu yang akan menjadikan orang tertunggu-tunggu untuk membeli.

Kita jangan lontarkan semua maklumat kepada pelanggan secara sekaligus.

Kita mesti jadikan seolah-olah mereka sedang menyelak lembaran majalah sehelai demi sehelai.

Seorang kawan saya pandai buat kek yang sedap. Setiap kali dia buat kek untuk dimakan bersama keluarga, dia akan mengambil gambar dan letakkan di media sosial.

Ini memang strategi beliau yang mana nanti kenalannya tertanya-tanya untuk menempah kek daripadanya.

.

Dalam pemasaran online, menggunakan pemasaran emel untuk membuatkan orang tertunggu-tunggu adalah taktik yang bagus:

  • Pastikan kita sentiasa mengemaskini senarai emel pengikut ataupun tribe kita.
  • Hantar kepada mereka satu emel ringkas seperti: “saya sedang mengusahakan satu benda baru dan ianya pasti menarik bagi tuan-tuan. Saya akan pastikan tuan-tuan dapat mengikuti perkembangan usaha saya ini. Saya akan berikan maklumat lanjut nanti.”
  • Kemudian hantar beberapa emel mengenai bagaimana produk ini akan keluar di pasaran: Bila? Bagaimana? Bonus untuk pembeli awal? Kenapa?
  • Sebelum produk dilancarkan, hantar satu emel seperti: “ Ok, sebelum produk ini dilancarkan esok, ini ada beberapa peringatan untuk anda…….
  • Kemudian, pada hari pelancaran, hantar emel seperti: “Ini dia! Akhirnya produk ini berjaya diterbitkan. Di bawah ini adalah link untuk pembeli awal mendapat harga istimewa dan baca ulasan daripada pelanggan pertama yang telah mendapat manfaat daripada produk ini. Anda juga boleh mendapat manfaat yang sama jika anda beli sekarang.”
  • Sehari atau dua hari selepas hari pelancaran, hantar satu lagi emel: “Kami silap. Kami tidak sangka pelanggan akan mendapat manfaat sebaik ini. Anda juga boleh mendapat manfaat yang sama jika anda beli sekarang.”
  • Sebelum tawaran istimewa ditutup, hantar satu emel memberi peringatan ini adalah peluang terakhir mereka untuk mendapat tawaran istimewa.
  • Kemudian, setelah tawaran istimewa ditutup, hantar satu emel untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang berminat dan menjadi pembeli awal.

Perkara yang sangat penting dan mesti diingat adalah jangan ‘overselling.’ Maksudnya, kita mesti sampaikan produk seperti apa yang kita kata. Jangan menjanjikan bulan bintang kepada pelangan. Jangan sesekali kita ‘menjual sesuatu yang tidak ada di tangan.’

Bahkan, adalah lebih baik dan terpuji jika kita ‘overdeliver.’ Iaitu kita berikan lebih daripada apa yang kita janjikan.

Matlamat pelancaran produk bukan hanya untuk menjual produk. Kita cuba untuk membina hubungan rapat dengan pengikut-pengikut agar mereka sentiasa aktif dan memberi respon yang cepat apabila kita ada sesuatu tawaran untuk mereka di masa hadapan. Sentiasa ingat ‘big picture’ ini dan berikan pelanggan lebih nilai daripada apa yang mereka jangkakan. ‘Overdeliver’ dan gembirakan pelanggan.

Setelah selesai pelancaran produk, bolehlah kita raikannya dengan gembira. Tetapi jangan lupa untuk terus merancang pelancaran produk seterusnya. Orang sudah mula memberi perhatian kepada kita. Jangan kita sia-siakan perhatian yang mereka berikan.

Seandainya pelanggan memberi komen tentang produk yang kita sampaikan, jangan sesekali bergaduh dengan mereka. Akui kelemahan itu dan kita perbaiki.

Setelah selesai pelancaran produk pertama, cuba kita fikir:

  • Bagaimana kita boleh berikan lebih banyak nilai dan kebaikan?
  • Bagaimanakah nilai dan kebaikan ini boleh sampai kepada lebih ramai orang?
  • Apakah produk-produk tambahan yang akan memberikan lebih impak kepada pelanggan?
  • Apakah yang kita boleh buat untuk tingkatkan momentum dan hasil yang kita nikmati sekarang?

“Masa kita terhad, jangan bazirkan masa untuk hidup dalam kemahuan orang lain.” – Steve Jobs

“Jangan berhenti dari mengekalkan kebebasan. Sekali kita dapat kebebasan, kita tidak akan sekali-kali mahu kehilangannya.”

“Kita boleh mencapai kebebasan dengan mengabaikan perkara-perkara yang kita rasa perlu ada sebelum kita boleh buat bisnes sendiri. Kita tidak dapat buat pinjaman wang, kita mula sahaja dengan apa yang ada. Kita tidak dapat mengambil pekerja, mulakan sahaja dengan diri sendiri menggunakan apa-apa kemahiran yang ada. Kita tidak dapat hadir kursus bisnes di universiti (yang tidak mengajar orang menjadi usahawan pun sebenarnya), kita dapat jimatkan puluhan atau ratusan ribu dengan belajar sendiri melalui pengalaman menjalankan bisnes.”

Pelancaran produk yang bagus adalah gabungan kepada strategi dan taktik. Strategi adalah menjawab kepada soalan ‘kenapa’ seperti cerita di sebalik penghasilan produk ini dan apa hasrat kita pada kepada pelanggan. Taktik adalah menjawab kepada soalan ‘bagaimana’ seperti apakah harga dan bagaimana maklumat dan produk ini boleh sampai kepada pelanggan.