Modul 2: Pelan Bisnes

Setelah kita ada idea bisnes, kita mesti terus buat tindakan. Dan tindakan perlukan perancangan. Tetapi jangan ‘overplan’ iaitu terlalu banyak buat perancangan, dan aktiviti amatlah kurang. Kita mesti ada kedua-duanya sekali, perancangan dan tindakan. Tetapi, lebihkan tumpuan kepada tindakan. Biarlah perancangan hanya 30%, tetapi 70% tumpuan kita adalah pada tindakan. Bagi bisnes kecil, cepat lebih penting daripada betul.

Buat pelan bisnes ringkas

Oleh kerana kita mahu mula startup atau bisnes kecil, jangan buat pelan bisnes yang terlalu rumit. Buat secara ringkas sahaja.

Selalu kita dengar orang akan buat Rancangan Perniagaan. Tetapi, itu adalah untuk mendapat pinjaman daripada bank, bukan untuk berniaga. Kita tidak perlu duduk berhari-hari tulis perancangan secara terperinci. Buat bisnes berbeza dengan buat pinjaman bank. Untuk mula buat duit dengan bisnes kecil, cukuplah sekadar tulis di atas sekeping kertas sahaja.

Jika kita tidak berjaya untuk tulis kurang dari sekeping kertas, itu bermakna pelan bisnes kita rumit dan tidak ringkas. Ingat, tumpuan kepada perancangan adalah kurang dari 30%.

Kita boleh buat tambahan dan ubahsuai kepada pelan bisnes semasa bisnes sedang berjalan.

Membuat perancangan bisnes gaya startup kecil hanya memerlukan beberapa perkara sahaja:

  • Apa yang kita jual?
  • Siapa yang akan beli?
  • Apa kebaikan yang bisnes kita bawa kepada pelanggan?
  • Menetapkan misi bisnes secara ringkas dan padat sekitar 140 – 160 huruf sahaja. Tuliskan secara tepat apa kebaikan yang kita mahu beri kepada pelanggan. Kita boleh guna ayat berikut:
    “Kami memberikan ___________ untuk ____________.”
    “Kami bantu ________________ untuk lakukan / capai / jimat ________.”
    “Kami berikan konten yang santai untuk kurangkan stres kerja anda.”
    “Kami bantu pemilik bisnes untuk jimat bajet pemasaran sebanyak 60%.”
  • Berapa harga produk/servis kita?
  • Apakah saluran pembayaran yang pelanggan kita akan gunakan?
  • Apa lagi produk/servis lain yang kita boleh jual bersama-sama?
  • Bagaimana pelanggan kita boleh tahu akan kewujudan bisnes kita?

KLIK untuk download template pelan bisnes ringkas.

Dalam membuat perancangan bisnes, ada beberapa perkara penting untuk kita ingat sebagai startup kecil:

Segera buat tindakan jalankan bisnes dan ubah apa yang patut semasa bisnes sedang berjalan. Jangan terlalu merancang untuk membuat sesuatu yang unik atau tidak sama dengan bisnes orang lain. Sebaliknya, fokus pada membawa sesuatu yang berguna kepada pelanggan, walaupun ia sama atau lebih kurang sahaja dengan bisnes orang lain. Teruskan bekerja menawarkan servis dan produk berdasarkan kemahiran yang kita ada.

Pastikan kos operasi menjalankan bisnes rendah. Curahkan banyak tenaga dan masa, bukan duit. Jalankan operasi bisnes yang membakar duit secara minimum sehinggalah hasilnya sudah nampak. Kemudian, barulah kita laburkan duit untuk besarkan bisnes. Elak libatkan orang lain yang kita perlu bayar. Jika perlu, buat secara solo sahaja. Kita tidak bakar banyak duit kerana ada risiko kegagalan yang tinggi pada bisnes pertama.

Cuba berbagai cara untuk dapatkan jualan pertama secepat mungkin – walaupun produk dan servis kita masih belum sempurna. Cepatkan aktiviti untuk produk itu berada di hadapan pelanggan. Perbaiki produk itu setelah dapat pandangan daripada pelanggan. Jangan tunggu produk sempurna baru kita nak tunjuk pada pelanggan. Ia tidak akan sempurna sampai bila-bila. Kesempurnaan hanya untuk tuhan. Paling minimum buat FB page atau minisite untuk pelanggan lihat produk dahulu walaupun produk itu masih belum ada. Jika sudah ada orang yang mahu bayar, boleh terima dahulu bayaran mereka sebagai pre-order. Ini akan menambah motivasi untuk siapkan produk itu segera. Jika tidak dapat siapkan, kita masih boleh pulangkan wang mereka. Jualan pertama adalah proses validasi yang penting untuk kita lihat adakah produk kita ada permintaan di pasaran.

Mulakan pemasaran sebelum kita buat produk – biar orang tahu lebih awal ada produk yang sangat baik dari kita akan terbit. Satu kaedah pemasaran yang bagus untuk ada sekumpulan pelanggan yang sedang menunggu-tunggu untuk membeli produk kita. Lebih banyak ‘pre-sales’ yang kita buat, kita akan lebih bersemangat untuk siapkan produk tersebut dengan lebih cepat.

Bercakap-cakap dengan pelanggan awal dan minta pandangan mereka – tanya mereka apa yang boleh ditambah baik pada produk dan servis kita sekarang. Melibatkan pelanggan dalam proses pembangunan produk adalah kemestian untuk menghasilkan produk yang sesuai dengan mereka. Ini disebut sebagai ‘product-market fit.’ Mereka juga akan rasa ‘like they own the brand’. Ini menjadikan mereka lebih rasa kebersamaan dalam bisnes kita. Merekalah yang akan menjadi penyokong kuat kita nanti.

.

Konsep startup adalah kita bermula dahulu, kemudian barulah ktia perbaiki model bisnes ketika bisnes sedang berjalan. Kita mesti bertindak cepat dengan kos yang rendah. Setelah kita mencapai ‘milestone’ tertentu barulah kita berhenti sejenak untuk tentukan kembali hala tuju.

Daripada kita terlalu sibuk membuat perancangan terperinci, baik kita sibuk membuat aktiviti menerima tempahan dan bertemu dengan seramai mungkin pelanggan. Perancangan bisnes startup berubah-ubah semasa bisnes sedang berjalan atau dalam proses validasi.

Kekalkan pelan tindakan yang ringkas untuk kita bekerja setiap hari.

Kelebihan ini tidak ada pada bisnes besar. Mereka perlu buat perancangan rapi sebelum bermula.

Ada contoh pelan tindakan yang anda boleh download di Modul 5.