Cara Memulakan Bisnes Pertama Dengan 0% Risiko Kegagalan

Ramai orang yang belum pernah ada bisnes mahu tahu bagaimana cara memulakan bisnes.

Soalan yang paling kerap orang tanya saya adalah: “bagaimana mahu buat duit?”

Soalan ini kelakar sebenarnya. Daripada pengamatan saya, orang yang bertanya sudah tahu jawapannya. Cuma mungkin dia mahu tahu bagaimana mahu buat duit cepat dan mudah.

Memang ada cara untuk buat duit cepat dan mudah, syaratnya orang itu sudah lama berbisnes. 

Topik itu saya kongsi dalam laman web yang lain.

Tetapi bagi orang yang baru bermula, tiada jalan mudah.

Tiada jawapan yang tepat untuk seseorang bagaimana mahu buat duit. Kerana ada ribuan cara untuk buat duit. Kita perlu uji sendiri cara yang mana yang sesuai dengan kita.

Tetapi, secara asas buat duit terbahagi kepada dua:

  1. Beri servis
  2. Jual produk

Bisnes pertama Nabi Muhammad (SAW) adalah menjaga kambing (beri servis). Kemudian barulah beliau beralih kepada bisnes trading (jual produk).

Pengalaman saya, itu adalah cara memulakan bisnes pertama yang terbaik.

Bermula dengan diri sendiri

Mindset yang betul adalah kita mesti bermula dengan apa yang ada. Perkara pertama yang kita adalah ‘diri sendiri.’

Dalam diri kita ada kemahiran tertentu. Dan kemahiran itu kita jual sebagai servis.

Jangan merendah-rendahkan kemampuan diri untuk bantu orang lain. Kemahiran yang kita ada adalah unik. Majoriti manusia tidak ada kemahiran itu.

Sebelum bermula dalam bisnes, saya hanya ada kemahiran menulis artikel. Saya rasa menulis artikel adalah kemahiran yang biasa, tiada siapa perlukan kemahiran seperti ini sebagai servis.

Tetapi, setelah saya berjaya melihat kemahiran menulis adalah anugerah tuhan yang besar, barulah peluang-peluang untuk buat duit dengan kemahiran ini saya nampak. Orang sanggup bayar ratusan ringgit untuk satu artikel.

Dengan menulis, saya menemui cara memulakan bisnes pertama saya. Daripada situ, terbuka pula peluang-peluang bisnes dan menjadi rakan kongsi dengan orang-orang lain yang lebih lama dalam dunia bisnes.

Pekerja bebas (freelance)

Apabila menjadi pekerja bagi sebuah syarikat atau kerajaan, kita sebenarnya sedang menerima gaji bulanan dengan memberikan servis kepada mereka.

Berbeza dengan pekerja bebas, kita memberikan servis tanpa terikat dengan mana-mana syarikat. Kita bebas untuk beri servis kepada mana-mana individu atau syarikat dengan cara yang kita sendiri boleh tetapkan.

Asalkan servis yang kita berikan itu sampai kepada mereka dan mereka berpuas hati, kita boleh bekerja mengikut masa, tempat dan cara kita yang kita selesa. Apabila servis itu sudah tamat, kita bebas bercuti.

Beberapa orang guru memberi nasihat yang sama kepada iaitu: untuk bermula dalam dunia perniagaan atau bisnes adalah dengan menjadi pekerja bebas. Dengan cara ini kita boleh bermula dengan modal duit hampir kosong.

Walaupun kita mungkin ada modal duit yang besar, mula dahulu dengan menjadi pekerja bebas untuk belajar selok-belok dan sepak-terajang dalam industri yang kita ceburi.

Apabila kita sudah tahu rentak dan permainan, barulah kita boleh ‘scale’ atau besarkan operasi dengan menambah modal, ahli pasukan dan menambah aliran pendapatan yang baru (jual produk).

Jika masih bekerja, tawarkan servis yang sama di luar

Seandainya kita sedang bekerja dengan syarikat atau kerajaan, kemahiran yang sedang kita gunakan untuk majikan boleh kita tawarkan kepada orang lain di luar.

Jangan terus berhenti kerja untuk mula bisnes.

  • Jika kita seorang cikgu sekolah kerajaan, boleh mula dengan mengajar tuisyen (beri servis). Setelah kita tahu selok-belok bisnes tuisyen, kita boleh membuka tuisyen kita sendiri. Kita boleh menulis dan mencipta buku-buku latihan untuk dijual kepada pelajar-pelajar sekolah (jual produk).
  • Jika kita bekerja di jabatan IT dan menguruskan laman web, kita boleh tawarkan servis di luar untuk membina laman web. Setelah kita mahir selok-belok dunia kerja-kerja IT di luar, kita boleh buka syarikat sendiri.
  • Jika kita seorang akauntan, kita boleh mula bantu klien-klien dari bisnes kecil diluar untuk memberi nasihat percukaian, dan urus rekod kewangan mereka.

Bagaimana mendapat pelanggan pertama

Halangan pertama bagi kita yang baru bermula adalah mendapat pelanggan-pelanggan awal.

Ada beberapa kaedah yang saya gunakan untuk mendapat pelanggan awal.

#1 – Berkawan dan berkumpulan

Cara paling senang dan cepat untuk dapat pelanggan adalah melalui kawan. Lebih ramai kawan, lebih mudah kita akan dapat pelanggan untuk servis pertama.

Kawan akan rekemen kawannya kepada kita. Dan yang penting, orang lebih percayakan kawan daripada orang asing.

Banyakkan berkawan-kawan dengan orang-orang dalam industri yang kita ceburi.

Sertai kumpulan-kumpulan tertentu. Hadir ke acara-acara yang mereka anjurkan.

Jika online, kita boleh aktif dalam kumpulan Facebook. Kita boleh dapat ramai prospek di situ.

Contoh-contoh kumpulan Facebook yang ada prospek untuk dapatkan pelanggan pertama:

Kelab ICT ini bagus bagi guru yang mahu beri servis mengajar tuisyen.

 

Untuk pembangun laman web, boleh cuba group Programming Laman Web + UI/UX.

 

Group Grafik Malaya ini pula adalah untuk pereka grafik.

#2 – Anak kangaroo dalam poket

Sebelum anak kangaroo boleh berdikari, ia akan berada dalam poket ibunya dan ikut ibunya ke mana sahaja.

Untuk mendapat pelanggan pertama, kita boleh menjadi partner kepada pihak atau individu yang sudah popular dan ada klien.

Jika anda cikgu, anda boleh mengajar di pusat tuisyen orang lain dahulu.

Bagi akauntan, boleh cuba beri servis kepada syarikat yang sudah ada klien.

Seorang jurulatih fitness, dia boleh berkhidmat sebagai jurulatih di gimnasium terdekat untuk mendapat pelanggan.

Pembangun laman web pula boleh berpartner dengan pereka laman web yang sudah terkenal dan ada banyak ‘job.’

Kuncinya adalah cuba fikir secara kreatif bagaimana kita boleh dapat pelanggan melalui orang lain.

Apabila sudah ada rekod yang baik, kita sudah ada portfolio dan orang sudah kenal kita, barulah orang percaya dan datang terus kepada kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *