7 Hakikat Yang Saya Tidak Sangka Ada Dalam Bisnes

Saya menyertai ABS 3 tahun yang lalu semasa ABS baru ditubuhkan. Semenjak ditubuhkan, dari masa ke masa ABS menambah rakan kongsi dan anak syarikat yang baru. Membangunkan syarikat Holdings bukan sesuatu yang mudah dan boleh berlaku dengan cepat.

Ia adalah pengalaman yang membuka mata, memenatkan, menggembirakan, mengecewakan, dan amat bernilai kepada setiap orang yang terlibat. Sebuah pengalaman adalah amat bermakna untuk melihat sendiri secara nyata bagaimana ABS membina, menjual dan mengubahsuai sebuah nilai tawaran (USP).

Banyak saya belajar mengenai model bisnes tertentu, mengenal pelanggan, mereka sistem dan membuat keputusan berdasarkan data yang ada.

Saya juga banyak belajar mengenai diri sendiri dan bagaimana membangunkan bisnes ‘ekonomi baru’ yang dinaungi oleh ‘sistem ekonomi lama.’

Perkara-perkara berikut mungkin kita tidak jangka sebelum memulakan syarikat dan membangunkan bisnes.

#1 – Anda mungkin akan kesunyian

Sebagai manusia kita mahu bersama sebuah komuniti. Kita menghabiskan banyak masa melakukan sesuatu secara berkumpulan.

Semenjak di sekolah kita ada rakan sekelas, pasukan permainan, hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan untuk berbual dan melepak bersama-sama.

Memulakan syarikat sendiri akan menghadkan aktiviti kita dengan komuniti kerana kita akan mula mengalami situasi kerja ‘long hours, high pressure.’

Tetapi apa yang menarik, kita akan mula mendapat komuniti baru dari kalangan usahawan, pelabur, rakan kongsi yang mengasaskan syarikat bersama-sama dan lain-lain. Ini akan membentuk sistem sokongan untuk kita mendapatkan nasihat, bantuan, atau mungkin simpati untuk kita menerokai ‘hutan keusahawanan.’

#2 – Tiada jalan yang terang untuk dilalui

Dalam dunia bisnes, tiada jalan yang terang dan telah siap-sedia untuk kita lalui. Kita sendiri yang kena menebas hutan dan membuat jalan sendiri.

Kita juga akan menentukan sendiri arah mana yang harus kita tuju. Memilih jalan adalah satu perkara, bertemu dengan lubang-lubang di tengah perjalanan pula ada satu perkara yang lain mesti diuruskan.

Ada juga orang memberi nasihat agar kita tiru sahaja bisnes-bisnes lain yang sudah berjaya.

Akan tetapi, jalan yang orang bisnes lain lalui belum tentu sesuai untuk kita lalui. Kita tidak boleh tiru bulat-bulat apa yang orang lain lakukan.

Berbisnes dengan meniru bulat-bulat apa yang orang lain lakukan bukanlah cara yang akan membuatkan bisnes kita berjaya dengan hebat.

Biasakan dengan ketidaktentuan jalan yang kita lalui. Uruskan risiko dengan cara ‘lean startup’ dan minimakan kerugian. Syarikat yang hebat dibina dengan bertindak mengambil risiko yang telah dikira. Mengambil risiko yang telah dikira dengan berkali-kali akan membawa kepada penemuan yang bermakna dan membentuk sistem syarikat yang kukuh.

Ini akan mengambil masa dan kerja kuat. Tetapi, ia amat berbaloi kerana akhirnya kita akan mempunyai sistem yang kukuh dan unik pada bisnes kita sahaja.

#3 – Terpaksa menerima perubahan yang kerap

Sebagai orang yang berlum pernah berbisnes, perubahan adalah perkara yang kita tidak selesa. Dalam bisnes kita mesti biasakan diri dengan perubahan.

Sebagai syarikat yang mahu terus mengalami pertumbuhan positif, perubahan adalah perkara yang perlu sentiasa dilakukan.

Jika kita mahu dapat apa yang kita tidak pernah dapat, lakukan apa yang tidak pernah kita lakukan.

Syarikat-syarikat yang berjaya selalu melakukan perubahan dan sentiasa berinovasi.

#4 – Ada masa terlalu tinggi, ada masa terlalu rendah

Harga minyak sebelum ini berada USD120 bagi satu tong. Kemudian ia jatuh kepada USD30 bagi satu tong.

Orang bisnes mesti bersedia untuk bermain pada situasi ekstrim tinggi dan ekstrim rendah.

Berbeza dengan minda orang berkerja kerana gaji mereka sentiasa tetap setiap bulan.

Naik turun dalam adalah perkara yang mesti dibiasakan oleh orang bisnes. Situasi orang bisnes seperti menaiki ‘roller-coaster.’ Badan mesti kuat, jalan mesti tegap.

Perlu sentiasa ingat perkara ini terutama semasa kita berada di dalam situasi tinggi. Kita mesti membuat persediaan suatu hari nanti kita akan berada pada situasi rendah.

Nabi Yusuf membuat persediaan rapi semasa 7 tahun hasil negara tinggi bagi menghadapi 7 tahun negara tiada hasil.

#5 – Lupa jaga diri sendiri

Kita dan syarikat adalah dua pihak yang berbeza.

Kita bertanggungjawab untuk menjaga diri kita sendiri.

Bukan tugas syarikat untuk pastikan kita makan dengan baik, cukup tidur dan menjaga hubungan kekeluargaan.

Dalam proses membangunkan syarikat, mudah untuk kita lupa apa yang penting terhadap diri sendiri.

Sentiasa perhatikan dan jaga prioriti profesional dan peribadi.

#6 – Dapat banyak nasihat yang tidak diminta

Semua orang ada pendapat sendiri yang dia rasa yakin.

Apabila kita memulakan syarikat kita sendiri, orang-orang di sekeliling kita tentunya ada pendapat tersendiri terhadap bisnes yang kita jalankan. Ada nasihat yang memberi inspirasi dan ada orang yang mengkritik apa yang kita lakukan.

Walau bagaimanapun, kita sendiri yang lebih tahu bisnes yang kita jalankan. Biasanya, saya abaikan sahaja 90% daripada kata-kata orang lain.

10% nasihat yang saya terima adalah daripada mentor dan orang yang layak memberikan nasihat. Orang yang layak memberikan nasihat adalah orang yang menjalankan bisnes dan dia betul-betul tahu selok-belok dalam bisnes.

#7 – Peluang sebenar lebih banyak dari apa yang kita nampak

Sebelum memulakan bisnes, kita sudah ada sangkaan tertentu apa yang kita akan capai.

Apabila kita mula melancarkan MVP (produk) pertama, kita mula melihat banyaknya peluang-peluang lain yang boleh kita capai jauh melebihi apa yang kita sangka pada peringkat awal.

Dalam bisnes yang berbentuk startup, belum ada SOP yang tetap. Kita akan melompat-lompat melakukan banyak perkara. Ini memberi peluang untuk kita mendapat banyak kemahiran sebelum naik ke peringkat yang seterusnya.

Cover artwork: Market Day by Victor Gabriel Gilberet

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *